GALERI KERIS MAS

GALERI KERIS MAS

Galeri Keris Mas merupakan galeri yang mempamerkan maklumat korporat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), meliputi sejarah penubuhan DBP sejak awal perjuangannya memartabatkan bahasa dan sastera Melayu, bermula dengan penubuhan Balai Pustaka di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Johor pada 22 Jun 1956. Para pelawat juga berpeluang menyaksikan rentetan-rentetan peristiwa dan kejayaan yang digapai oleh DBP dari awal sehinggalah sekarang.

Galeri dibina bagi menggantikan Balai Keris Mas di Bangunan Lama DBP yang dianggap sebagai wadah untuk mempamerkan bahan-bahan sejarah penting berkaitan penubuhan dan pencapaian DBP. Galeri ini terletak di tingkat 3, Blok Podium DBP. Kedudukannya yang strategik membolehkan para penyelidik mendapat maklumat dari perpustakaan dan galeri dengan mudah.

Turut dipamerkan di sini ialah artifak-artifak peninggalan tokoh-tokoh bahasa dan sastera terkemuka tanah air. Antara artifak tokoh yang ada di dalam simpanan galeri ini adalah peninggalan Zainal Abidin Ahmad (Za'ba), Sasterawan Negara Usman Awang dan Sasterawan Negara Keris Mas. Artifak ini antara lain termasuklah selempang, songkok, keris, buku autobiografi serta lain-lain peninggalan berharga yang tidak terdapat di tempat-tempat lain. Dengan penubuhan galeri ini, budaya dan semangat kecintaan terhadap nilai sejarah dan warisan bangsa dapat dipupuk dan menjadi sebuah pusat informasi bagi pelawat yang berkunjung ke sini.

Recent Posts