Pengiktirafan : 2016

THE MEMORY OF THE WORLD REGIONAL REGISTER FOR ASIA/PACIFIC
MS101 Kitab Ilmu Bedil

Dewan Bahasa dan Pustaka membuat pencalonan bagi manuskrip Kitab Ilmu Bedil pada tahun 2015. Ianya melibatkan dua pencalonan iaitu bagi peringkat Asia Pasifik - Memory of the World Regional for Asia/Pacific, UNESCO (MOWCAP) Hong Kong dan peringkat antarabangsa - Memory of the World International Regional, UNESCO, Paris.

Kitab Ilmu Bedil disenaraikan dalam Katalog Manuskrip Melayu: Koleksi Pusat Dokumentasi Melayu [cetakan terhad] diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2006. Kandungan dan subjek manuskrip dikategorikan sebagai Ilmu Tradisional. Manuskrip ini mengandungi 790 patah perkataan yang ditulis pada 8 keping kertas dalam bentuk akordian (accordian) yang merupakan bentuk yang jarang ditemui dalam manuskrip Melayu. Keistemewaannya, kedua-dua muka depan dan belakang manuskrip diperbuat daripada kulit dengan ilustrasi halus dan awan larat (arabesque) gaya Melayu, serta hiasan dengan dakwat emas. Manuskrip ini dalam keadaan baik dan lengkap.

Bermula dengan Mesyuarat Pencalonan Asia Pasifik Memroy of the World Register, di Jabatan Warisan Negara pada 12 Oktober 2015, DBP melalui Pusat Dokumentasi Melayu telah mengadakan Bengkel Memory of the World: Pencalonan Manuskrip Ilmu Bedil MS101 dan MS31 , bertempat di Sanggar Za'ba, DBP dengan bimbingan pakar rujuk Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah dengan penyertaan seramai 10 orang peserta.

Manuskrip Kitab Ilmu Bedil ini sangat istemewa kerana merupakan pencalonan pertama kali dalam daftar MOWCAP, UNESCO. Malaysia melakar sejarah sebagai negara yang memiliki warisan dunia dari segi tamadun dan hubungan diplomatik dengan negara-negara Asia Pasifik. Hasil mesyuarat 7th MOWCAP General Meeting yang diadakan di Hue, Vietnam pada 18-21 Mei 2016, Malaysia diumumkan antara enam buah negara di Asia Pasifik yang telah berjaya mendaftar inskripsi pertama dokumentari warisan dengan MOWCAP. Pada JUlai 2016, DBP telah menerima Sijil Pengiktitafan The Memory of the World Regional Register for Asia/Pacific yang bertarikh 19 Mei 2016 bagi Kitab Ilmu Bedil.

Penyampaian sijil MOWCAP bagi Kitab Ilmu Bedil disampaikan oleh Encik Li Minghua, Ketua Pengarah, Pentadbiran Arkib Negara China kepada YBhg. Dr. Zaharani bin Ahmad, Ahli Lembaga Pengelola mewakili DBP disempurnakan dalam acara perasmian International Symposium Preservation and Access: Southeast Asia's Documentary Heritage in the Digital Age di Malaysia Tourism Centre (MATIC) Kuala Lumpur pada 8 Mei 2017.

Kini pencalonan Kitab Ilmu Bedil di bawa ke peringkat antarabangsa Memory of the World International Register International Regional, UNESCO, Paris yang merupakan kemuncak pengiktirafan manuskrip DBP sebagai warisan dunia yang bakal mengulang sejarah pengiktirafan pada tahun 2001 menerusi manuskrip Sulalatus Salatin

Kitab Ilmu Bedil berpotensi menjadi manuskrip ke-5 yang diiktiraf sebagai Memory of the World International Register selepas pengiktirafan Surat-surat Sultan Abdul Hamid (2001), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) (2001), Hikayat Hang Tuah (2001) dan Batu Bersurat Terengganu (2009).

Recent Posts