pengiktirafan : 1995

ANUGERAH IT PIKOM - COMPUTIMES 1995

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah antara organisasi yang telah terpilih untuk menerima Anugerah IT Pikom-Computimes 1995 bagi kategori "IT Organisation of the Year". Upacara penyampaian anugerah ini telah diadakan pada Majlis Tahunan ke-7 Persatuan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) dengan kerjasama Computimes pada 24 September 1995 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. YBhg. Tuan Haji A. Aziz Deraman, Ketua Pengarah DBP telah menerima anugerah tersebut dari Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Datuk Leo Moggie.

DBP telah berjaya mengatasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Industri Malaysia serta Majlis Bandaraya Ipoh dalam kategori ini. Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab terhadap perkembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu, dengan penuh keyakinan DBP berjaya memperlihatkan kemampuannya dalam bidang perkomputeran.

Dengan mengutarakan penggunaan kaedah teknologi maklumat (IT) untuk mendokumentasikan pelbagai jenis bahan dan maklumat yang tersimpan di DBP khususnya di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP telah berjaya menyakinkan para penilai. Sistem yang dilihat merangkum proses perolehan, pengkatalogan, sirkulasi/pinjaman, pengindeksan, imejan, pinjaman antara perpustakaan, perkhidmatan pelanggan melalui capaian katalog awam dalam talian (OPAC) dan multimedia.

Tugas mengendali dan menguruskan pendokumentasian koleksi buku, jurnal, manuskrip, dokumen dan lain-lain yang besar jumlahnya bukan suatu tugas dan tanggungjawab yang mudah. Manakala proses pelaksanaan secara manual bukan sekadar lambat malahan memerlukan banyak sumber tenaga manusia. Storan dokumen dan bahan merupakan salah satu cabaran kerana dokumen yang banyak memerlukan ukuran ruang yang tertentu dan melibatkan kos pembelian kabinet storan. Selain itu juga, pelbagai maklumat yang tidak diintergrasi merupakan antara cabaran lain yang perlu diatasi.

Kesannya, bukan sahaja melambatkan urusan perkhidmatan kepada pengguna, malahan mengakibatkan duplikasi bahan. Dengan terlaksananya sistem pengkomputeran di DBP, bererti tugas DBP sebagai institusi pembinaan, pengembangan, penyelidikan dan pemasyarakatan bahasa, sastera dan budaya Melayu dapat dilaksanakan secara sistematik, tepat dan cepat.

Recent Posts