DATUK DR. USMAN AWANG
BIODATA
Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937), dan Bandar Maharani Muar (1940) hingga lulus darjah VI. Beliau juga merupakan mantan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka, mula berkhidmat pada tahun 1963. Memulakan kerjaya di DBP sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa, dan kemudian pengarang Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Antara jawatan lain di Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebagai Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Pembinaan, dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982, beliau menjadi Ketua Bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Beliau dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau dilantik menjadi Setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah panel penilai anugerah kesusasteraan yang tinggi di tanah air. Dalam tahun 1982, Usman Awang telah terpilih menerima S.E.A. Write Awards. Pada 11 Ogos 1983, Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985, iaitu untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang sastera, Usman Awang telah dianugerahi gelaran kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh DYMM Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1991.
Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia kesusasteraan Melayu moden dengan menulis puisi. Puisi-puisinya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beliau adalah antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam puisi-puisinya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan yang konvensional. Beliau menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya dan pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Antara hasil karya tulisan beliau adalah Bunga Popi, Gadis di Kuburan, Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh, Salam Benua, Degup Jantung , Tulang-tulang Berserakan, Serunai Malam, Malam Kemerdekaan, Tamu di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan, Degup Jantungnya, Muzika Uda dan Dara dan Gadis di Kuburan.
KARYA
Puisi
• Gelombang. Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1961. (Diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979)
• Puisi Baru Melayu 1942 – 1960 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1961.
• Duri dan Api. Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1966.
• Himpunan Sajak (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969.
• Sajak-sajak Melayu Baru/Moden Malay Verse 1946-1961 (dwibahasa) (antologi bersama). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1969.
• Suara Tujuh (antologi bersama). Kuala Lumpur: Penerbitan Setia Murni, 1969.
• Kuala Lumpur (antologi bersama). Kuala Lumpur: GAPENA, 1975.
• Titian Zaman (Peny. Bersama Ismail Ahmad). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1979.
• Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama). Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979.
• Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981.
• Salam Benua: Greetings to the Continent (dwibahasa). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.
• Lagu Kehidupan (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983.
• Bintang Mergerdip (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984.
• 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984.
• Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986.
• Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986.
• Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975-1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
• Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
• Malaysia dalam Puisi (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
• Puisi-puisi Pilihan Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
• Cempaka (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1992.
• Suara Rasa (Voice From Within) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993.
Cerpen
• Cerita-cerita Pendek DBP (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1958.
• Mekar dan Segar (antologi bersama). Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1960.
• Dua Zaman (antologi bersama). Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1963.
• Degup Jantung. Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1963.
• Menunggu Ratu Adil (antologi bersama). Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984.
• Dongeng Merdeka (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985.
Novel
• Tulang-tulang Berserakan. Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1966. (Edisi Khas Sasterawan Negara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992).
Drama
• Dari Bintang ke Bintang. Kuala Lumpur: Penerbitan Angkatan Baru, 1965.
• Serunai Malam. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1966.
• Tamu di Bukit Kenny. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1968.
• Di Bawah Matahari. Kluang: Pustaka Pendidikan Sdn. Bhd., 1969.
• Tirai Zaman. Kluang: Pustaka Pendidikan Sdn. Bhd., 1969.
• Kaki Langit. Kuala Lumpur: Asiah Enterprise, 1971.
• Muzika Uda dan Dara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976.
• Tinta Pena (antologi bersama). Kuala Lumpur: PENA, 1981.
• Di Atas Pentas (antologi bersama). Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984.
• Hujan Malam (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986.
• Drama-drama Pilihan Usman Awang (Edisi Khas Sasterawan Negara). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
Esei/Kritikan
• Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (bersama A. Samad Said). Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1963.
• Asas Kebudayaan Kebangsaan (antologi bersama). Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1973.
• Panduan Menulis Cerpen (bersama Abu Bakar Hamid). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973.
• Esei Sastera ASAS 50 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
• Usman Awang: Sikap dan Pemikiran (disusun oleh Dinsman dan Sutung Umar Rs.). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1983.
Wawancara
• Wawancara Sastera (disusun oleh A.M. Thani). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984.