DR. MUHAMMAD DAHLAN ABDUL BIANG (ARENA WATI)
BIODATA
Arena Wati atau nama sebenarnya Muhammad bin Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung Patria dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan di Hollands Indische School (HIS), Meer Uigebreid Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere Burger School (HBS) yang diteruskan semasa beliau menjadi pelaut. Beliau dapat menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar pada tahun 1953 selepas terhenti semasa perang meletus.
Pengalaman kerjaya Arena Wati bermula sebagai kelasi kapal, sidang penerbitan majalah dan akhbar di Harmy dan Royal Press di Singapura, Penerbitan Melayu Ltd. Johor Bahru, Percetakan Light di Brunei, Pustaka Antara Kuala Lumpur, pegawai penyelidik di Yayasan Sabah, Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1985-1989) dan di Dewan Bahasa dan Pustaka (1989-1990), fellow di pelbagai universiti antarabangsa seperti di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (1983-1984), di Universiti Leiden (Februari – Jun 1984), dan di Universiti Kyoto, Jepun (Julai 1984 – Januari 1985).
Arena Wati menelusur dunia penulisan dengan menghasilkan novel, cerpen, puisi dan wacana yang mencakupi pelbagai ilmu tentang kehidupan. Beliau melontarkan idea, menyuarakan pandangan dan membangkitkan kelesuan berasaskan pena di tangan dan lembaran kertas. Ketika itu lahirlah karya beliau berjudul Kisah Tiga Pelayaran yang diterbitkan di Singapura pada Tahun 1959. Pengalamannya yang luar biasa sebagai pelaut banyak memberinya ilham dalam berkarya dan meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam bidang penulisan khasnya untuk menghasilkan novel dan cerpen yang baik.
Hasil kerja keras dan penulisannya yang tidak pernah jemu, Arena Wati telah menerima beberapa anugerah seperti SEA Write Award, Thailand (1985); Anugerah Sasterawan Negara, Malaysia (1987); Anugerah MASTERA 1, Brunei (2003); dan Anugerah Doktor Persuratan, Universiti Kebangsaan Malaysia (2003). Beliau juga pernah menjadi Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBBKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (Februari 1986-Mei 1990). Sebelum itu, beliau pernah menjadi felo di University of Cornell, Amerika Syarikat (Julai 1983-Januari 1984); University of Leiden, Holland (Februari-Jun 1984); dan University of Kyoto, Jepun (Julai 1984-Januari 1985).
Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada 25 Januari 2009.
KARYA
• Kisah Tiga Pelayaran (1959)
• Lingkaran (1962)
• Sandera (1971)
• Rontok (1980)
• Eno (1985)
• Bunga dari Kuburan (1987)
• Kuntum Tulip Biru (1987)
• Sakura Mengorak Kelopak (1987)
•Syair Pangeran Syarif (1989)
• Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989)
• Syair Perang Cina di Monterado (1989)
• Burung Badai (1990)
• Turina (1991)
• Citra (1991)
• Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991)
• Ombak Samudera(1992)
• Meniti Kala (1993)
• Panrita (1993)
• Sudara (1994)
• Mevrouw Toga (1995)
• Begawan (1996)
• Koleksi Terpilih Arena Wati (1996)
• Sukma Angin (1999)
• Getar-getir Maya Kumpulan Cerpen (2000)
• Trilogi Busa (2002)
• Armageddon (2004)
• Kutukan dari Langit (2004)
• Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal 1954-1959 (2004)
• 7 Tegak Bersama (2005)
• Warna Sukma Usia Muda (2005)
• Cakra Waruga (2006)