DATUK NOORDIN HASSAN

DATUK NOORDIN HASSAN

BIODATA

Nordin Hassan dilahirkan pada 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Perak Road dan Sekolah Inggeris Francis Light, Pulau Pinang. Pada tahun 1945, Noordin menyambung pengajiannya di Penang Free School dan mempelajari kesusasteraan Inggeris.  Noordin juga dipilih sebagai pengawas di samping menjadi kapten hoki bagi pasukan sekolah, bermain bola sepak, dan kriket. Pada tahun 1952, Noordin Hassan dihantar oleh kerajaan belajar di Kirkby College, Liverpool untuk persiapan menjadi guru terlatih. Semasa di Kirkby beliau sekali lagi mendalami kesusasteraan Inggeris dan Barat, dengan mengaji karya-karya Shakespeare, Sheridan, Goldsmith, dan Molierre.

Pada tahun 1953, beliau mula bertugas sebagai guru di Sekolah Perempuan Kampung Baharu, Alor Setar dan telah berjaya mementaskan dramanya yang pertama berjudul Tak Kunjung Kembali. Beliau juga pernah mengajar di Sekolah Sultanah Asma, Sekolah Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan  bertugas sebagai pensyarah di Maktab Harian Alor Setar (1957-1962). Pada tahun 1962, Noordin Hassan bertolak sekali lagi ke Universiti London untuk mempelajari Pengajaran Bahasa Inggeris. Setelah pulang ke tanah air dalam tahun 1964, beliau menjadi penasihat bagi Persatuan Drama, Maktab Perguruan Alor Setar, kemudian beliau telah mengarahkan drama untuk Majlis Kesenian Negeri Kedah.  Selepas itu, Noordin Hassan menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim di sini lahirlah drama-dramanya yang berjudul Bukan Lalang Ditiup Angin, Tiang Seri Tegak Berlima dan Pintu. Pada tahun 1976, Noordin ditukar ke Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang dan telah mengikuti kursus Drama dalam Pendidikan di University of Newscastle, England seterusnya berkhidmat di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur.  Pada tahun 1984, Noordin Hassan menyertai Bahagian Skrip dan Cereka, Radio, dan Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pegawai kontrak.  Di RTM beliau bertanggungjawab terhadap skrip drama dan cereka untuk siaran di Radio dan Televisyen Malaysia.

Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia drama, beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buah drama dan kareografi tarian.  Pada tahun 1972, Noordin Hassan telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan dramanya yang berjudul Bukan Lalang Ditiup Angin.  Drama ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1979 bersama-sama dramanya yang bertajuk Tiang Seri Tegak Berlima dan Pintu. Selain itu dramanya yang bertajuk Jangan Bunuh Rama-rama, 1400 dan Teater Fitrah telah disiarkan dalam Dewan Sastera 1979, 1981 dan 1983.  Beliau juga telah menulis skrip untuk pantonim dan tamsil bagi majlis pembukaan Musabaqah al-Quran Peringkat Antarabangsa dari tahun 1978-1985.

Pada tahun 1979, Noordin Hassan telah dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong.  Dalam tahun 1995, Noordin telah dianugerahi bintang kebesaran negeri yang membawa gelaran “Dato”. Beliau merupakan penulis drama yang penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden dan akhir-akhir ini Noordin banyak menunjukkan kecenderungannya menghasilkan karya-karya drama yang mengandungi konsep dan unsur-unsur Islam.  Sumbangan beliau yang amat bermakna dalam perkembangan teater Noordin telah dianugerahi Anugerah Sastera Negara pada tahun 1993.

KARYA

Drama

• Bukan Lalang Ditiup Angin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 145 hlm.
• Anak Tanjung, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 135 hlm.
• Saya… dari Hujung Kota, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 367 hlm.
• Peran (Edisi Khas Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 231 hlm.

Recent Posts