DATUK NOORDIN HASSAN
BIODATA
Abdullah dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Sungai Limau (1926), Sekolah St. Michael, Alor Setar (1932-1933) dan Abdullah sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) (1943) di Singapura sebagai calon dari Aceh.
Pekerjaan awalnya ialah penolong penjaga stor dalam sebuah perusahaan lombong bijih di Pahang seterusnya berhijrah ke Pulau Pinang dan bekerja di syarikat akhbar Sahabat. Di sana, beliau telah mendapat dorongan menulis daripada pengarang akhbar tersebut iaitu Ahmad Noor Abdul Shukoor. Di samping itu, Abdullah giat dalam Perkumpulan Sahabat yang kerap mengadakan pertemuan sesama penulis di utara Semenanjung. Kebolehan awalnya dalam bidang penulisan telah terbukti, apabila cerita bersirinya berjudul Binti Penghulu diterbitkan dalam akhbar Sahabat, disusuli cerita Harta dan Jodoh Menanti di England sebanyak 38 siri.
Pada tahun 1940, Abdullah bertugas pula sebagai pembantu pengarang Saudara di Pulau Pinang dan telah menerbitkan dua buah noveletnya iaitu Kasih Isteri dan Dia … Kekasihku. Beliau kemudiannya bertugas di Kem Tentera Inggeris di Sungai Petani, Kedah sebagai kerani hinggalah kedatangan tentera Jepun yang mendesak beliau kembali ke kampung halamannya. Semasa di Banda, Aceh, Abdullah menyertai beberapa sayembara mengarang roman sejarah dengan karya berjudul Darah Pembalasan. Beliau pernah mendapat tempat kedua dalam sayembara mengarang cerpen di Aceh dengan cerpennya berjudul Manusia Baru dalam tahun 1943. Pada tahun 1950, Abdullah kembali ke Sumatera dan menjadi pengarang majalah Puspa di Medan. Beliau telah memenangi hadiah pertama peraduan mengarang cerpen sempena perayaan Hari Buruh di Medan dengan karyanya yang berjudul Kario Buruh Kebun.
Pada tahun 1951, beliau meninggalkan Medan menuju ke Singapura dan menjadi kerani di Syarikat Perkapalan Acheh Trading and Shipping Company . Beliau juga pernah menjadi koresponden surat khabar Merdeka, Berita Indonesia dan majalah mingguan Merdeka, Pengurus Empiric Film Company, Pengarang Majalah Bintang, Majalah Filem, Akhbar Semenanjung dan Pengurus firma import dan eksport Hasbur Trading Company serta Pengurus Penerbitan P. Ramlee. Pada tahun 1961, Abdullah pindah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Oxford University Press sebagai pembantu pengarang kanan. Sewaktu bertugas di penerbitan itulah, Abdullah telah menterjemahkan beberapa karya sastera dunia. Dari tahun 1965-1968, beliau menjawat tugas yang sama di Franklin Books Programme di samping menjadi editor majalah Angkatan Baru.
Mulai 1 Mac 1968, Abdullah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, bermula sebagai Penolong Pengarang, seterusnya sebagai Pengarang serta menjadi Pegawai Penyelidik di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Beliau juga menjadi editor majalah-majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Dewan Sastera, serta menjadi editor dan penerbit majalah Penulis. Abdullah Hussain banyak sekali membuat sorotan cerpen yang bersifat membimbing bakat-bakat baru seperti yang tersiar dalam Dewan Sastera 1972 dan 1973. Kemudian Abdullah bertugas sebagai Ketua Unit Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan bertanggungjawab memimpin majalah Dewan Perintis edisi Sabah sejak 1978 -1979. Pada Oktober 1979, Abdullah menjadi Ahli Cipta di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Seterusnya pada tahun 1982 pula, beliau mendapat tawaran bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei, sebagai Pegawai Bahasa Kanan dan mengetuai Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera di samping menjadi ketua editor majalah Bahana dan Mekar. Abdullah pernah menjadi karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1993-1994, dan tahun 1995-1996.
Tulisan Abdullah yang pertama berupa sebuah cerita lucu yang tersiar dalam majalah Tanah Melayu pada tahun 1939. Setelah hampir 40 tahun menulis, sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu masih terus mengalir seolah-olah beliau tidak pernah kekeringan ilham dan tenaga. Novel-novelnya iaitu Terjebak, Peristiwa dan Aku Tidak Minta merupakan rakaman pengalaman-pengalaman berunsur seram, tragis, dan lucu sewaktu Abdullah di Indonesia dan di Thailand. Ketiga-tiga novel tersebut, di samping Rantau Selamat dan Interlok adalah sumbangannya yang bermakna dalam bidang penulisan novel sehingga kini. Sementara bukunya yang menyangkut bidang bahasa iaitu Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dianggap sebagai salah satu kamus peribahasa yang terbaik setakat ini. Usaha gigih Abdullah menterjemah beberapa buah karya sastera dunia dapat kita hayati melalui novel Angin Timur Angin Barat dan Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Muatiara (Steinbeck), Orang Tua dengan laut (Hemingway) dan Lorong Midaq oleh Naguib Mahfouz. Dalam bidang biografi, Abdullah telah menghasilkan biografi tentang tokoh-tokoh seperti P. Ramlee, Za’ba, Tun Datu Haji Mustapha dan Harun Aminurrashid.
Pada tahun 1981, Abdullah Hussain telah terpilih menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok. Novel terbaru beliau iaitu Imam telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95 dan Hadiah Novel Nasional (mengingati Pak Sako), 1992/94. Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sastera Negara yang kelapan dalam tahun 1996. Beliau juga telah dianugerahi Pingat Jawa Hukom Ngon Adat Lembaga Kebudayaan Aceh (LAKA) 1995, dan bersempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” dalam tahun 1995.
KARYA
Novel
• Dia… Kekasihku, Johor Bahru: The Annies Printing Works, 1941, 64 hlm.
• Kasih Isteri, Johor Bahru: The Annies Printing Works, 1941, 112 hlm.
• Amin Pemuda Desa, Pulau Pinang: Penerbitan Angkatan Baru, 1947, 77 hlm.
• Berenang di Lautan Madu, Singapura: Geliga Limited, 1957, 96 hlm.
• Kalau Tidak Kerana Tuan, Singapura: Geliga Limited, 1957, 75 hlm.
• Janganlah Jangan, Kuala Lumpur: Penerbitan Angkatan Baru, 1964, 135 hlm.
• Si Bulat Pemuda Desa, diterbitkan melalui majalah cerita bulanan, Terang Bulan, Oktober 1964, Bil. 1, 37 hlm.
• Terjebak, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1964, 380 hlm.
• Peristiwa, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1965, 273 hlm.
• Rantau Selamat, Kuala Lumpur: Pustaka Nasional, 1965, 508 hlm.
• Interlok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, 341 hlm.
• Intan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 112 hlm.
• Noni, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1976, 133 hlm.
• Buih di Atas Air, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1980, 201 hlm.
• Masuk ke dalam Cahaya, Kuala Terengganu: 1983, 306 hlm, dicetak semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, (Edisi Khas Sasterawan Negara), 1997, 323 hlm.
• Imam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 1995, 705 hlm.
• Cerpen: Hadiah (Peny. Bersama A. Bakar Hamid), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 329 hlm.
• Jejak Langkah (Peny. Bersama Ismail Ahmad), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975, 285 hlm.
• Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm.
• Kota ke Kota, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977, 194 hlm.
• Sebuah Impian (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Pena Sdn. Bhd., 1979, 235 hlm.
• Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.
• Bunga Gunung (antologi bersama), Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd., 1982, 153 hlm.
• Sebuah Pekan Bernama Semporna, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 303 hlm.
• Menunggu Ratu Adil (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm.
• Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm.
• Dari Kota Cahaya (Edisi Khas Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 681 hlm.
Drama
• Di Atas Pentas (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 209 hlm.
Esei/Kritikan
• Penulisan Cerpen: Kaedah dan Pengalaman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 64 hlm.
Autobiografi
• Sebuah Perjalanan, Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka, 1984, 547 hlm.
Biografi
• Ramlee Seniman Agung, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1973, 216 hlm.
• Pendeta Za’ba dalam Kenangan (bersama Khalid Hussain), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, 318 hlm.
• Harun Aminurrashid: Pembentuk Semangat Kebangsaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 412 hlm.
Terjemahan
• Orang Tua dengan Laut/Ernest Hemingway, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1961, 127 hlm.
• Bumi Bertuah/Pearl S. Buck, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1962, 409 hlm.
• Mutiara/Johan Steinbeck, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1962, 122 hlm.
• Angin Timur Angin Barat/Pearl S. Buck, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1964, 229 hlm.
• Lorong Midaq/Naguib Mahfouz, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 443 hlm.
Umum
• Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1965, 207 hlm.
• Kamus Simpulan Bahasa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1966, 464 hlm.
• Balabatu dan Lain-lain, Kata-kata Sebunyi, Singapura: Harmy Press, 1959, 172 hlm.
• Bunga Bahasa, Singapura: Malay Publishing House Ltd., 1961, 318 hlm.
• Pertemuan Sasterawan Nusantara IV (Peny. Bersama Mohd. Shahri Hussin), Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 249 hlm.
• Canai Budi (kumpulan peribahasa), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 182 hlm.