DATO' DR. ANWAR RIDHWAN
BIODATA
Anwar Ridhwan dilahirkan pada 5 Ogos 1949 di Parit Satu Timur, Sungai Besar, Selangor. Anwar menerima pendidikan di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar (1956-1952), Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam (1963-1967) dan Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (1968-1969). Pada tahun 1970, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya dan belajar di Jabatan Pengajian Melayu kemudiannya menerima Ijazah Sarjana Sastera (M.A.) (1983). Semasa menuntut di Universiti Malaya, beliau turut mengasaskan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM). Pada tahun 1998, Anwar menerima ijazah Kedoktoran juga daripada Universiti Malaya.
Pada tahun 1973, beliau mula bertugas sebagai pegawai sementara di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seterusnya beliau diterima sebagai Pegawai Penyelidik Sastera (tetap). Di DBP, beliau pernah menjadi anggota sidang editor majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Seterusnya Anwar menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera serta pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah. Anwar pernah berkhidmat sebagai Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies mulai 1997-2000. Pada tahun 2001, Anwar menjadi Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antologi cerpen yang pertama beliau iaitu Parasit (1976), memperlihatkan corak penulisannya dengan gaya baharu melalui bahasa yang puitis. Dalam antologi cerpennya yang kedua, Sesudah Perang (1978) dan ketiga Sangkar (1986), Anwar menggarap tema tentang “nasib” watak-watak dalam kebudayaan tradisi di ambang kebudayaan baharu yang agresif, materialistik dan individualistik. Kumpulan cerpen Sesudah Perang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul After the War and Other Stories. Cerpennya Dari Kiev ke Moskova telah memenangi hadiah pertama peraduan cerpen DBP-Maybank (1992). Beberapa hasil penulisan beliau telah memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia: Perjalanan Terakhir (1971), Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976), Sasaran, Sahabat dan Menjadi Tua (1982/83).
Novel pertama Anwar, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) memenangi Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Novel. Novel ini sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Harry Aveling (dalam judul The Last Days of an Artist, DBP, 1982), bahasa Jepun oleh Tatuo Hoshino dan bahasa Perancis. Novel ini juga telah diadaptasikan ke teater oleh dramatis Johan Jaaffar. Novel keduanya berjudul Arus (1985), terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/85. Novel ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Perancis pada tahun 1989 dan kemudiannya ke dalam bahasa Thai.
Beliau juga berbakat dalam penulisan puisi dan skrip drama, kumpulan puisinya yang pertama berjudul Tercipta dari Tanah (1985). Dalam bidang penulisan drama pentas, Anwar telah menghasilkan Orang-orang Kecil (1990) dan Yang Menjelma dan Menghilang (1990) – drama ini memenangi Hadiah Utama, Peraduan Menulis Drama Yayasan Seni – Berita Harian 1990 dan juga Hadiah Sastera Malaysia 1992/1993. Anwar telah mengarah tiga drama pentas, iaitu Penghuni Paya – The Swamp Dwellers – Karya Wole Soyinka(1991), Pulang (1995), dan Yang Menjelma dan Menghilang (2001). Pada 2009, beliau diumumkan sebagai Sasterawan Negara Malaysia kesepuluh.
KARYA
Novel
• Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 170 hlm.
• Arus, Kuala Lumpur: Pustaka Cipta Sdn. Bhd., 1985, 80 hlm.
Cerpen
• Parasit, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 85 hlm.
• Sesudah Perang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, 77 hlm.
• Sangkar, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, 236 hlm.
Puisi
• Tercipta dari Tanah, Petaling Jaya: Media Intelek Sdn. Bhd., 1985.
Drama
• Orang-orang Kecil, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
• Yang Menjelma dan Menghilang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.