DATUK DR. AHMAD KAMAL ABDULLAH

DATUK DR. AHMAD KAMAL ABDULLAH (KEMALA)

BIODATA

Kemala atau dikenali juga sebagai Akmal Jiwa merupakan nama pena kepada Dato' Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Gombak, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu kampung Batu, Sekolah Melayu Prince's Road, Kuala Lumpur. Pendidikan akademik beliau berikutnya, bersifat auto didik, iaitu belajar sambil bekerja, melalui pos dan pengajian luar kampus. Beliay berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (1963), Sijil Tinggi Persekolahan (1974), Ijazah Sarjana Muda sastera Kepujian (Universiti Sains Malaysia, 1980), Sarjana Sastera (Universiti Sains Malaysia, 1985) dan Doktor falsafah (Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000).

Pada tahun 1956, Ahmad Kamal terpilih menjadi guru Pelatih, mengajar di Sekolah Melayu Jeram, Kuala Selangor, pada masa yang sama beliau menghadiri kelas Guru Pelatih di Sekolah Melayu Kampung Baru. Beliau terpilih melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak dan dianugerahkan Sijil Perguruan Sekolah Rendah  Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada 1963. Ahmad Kamal bin Abdullah telah memulakan kerjaya penulisannya sejak tahun 1954 lagi, iaitu sejak di bangku sekolah Melayu. Sehingga kini, selama 57 tahun, dia terus menerus berkarya tanpa mengenal jemu. Bakatnya diserlahkan semasa beliau belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris. Sewaktu itu karya-karyanya telah menjengah di dada-dada akhbar dan majalah tanah air,  antaranya Utusan PamudaWaktu, Hiburan, Mutiara, Mastika, Bulanan Malaya, Utusan Zaman, dan Berita Minggu. Beliau juga mementaskan dramanya berjudul Lembayung Senja di Dewan Suluh Budiman, di MPSI.

Beliau pernah mengajar di daerah pedalaman di Selangor, seperti di Sekolah Melayu Tiram Buruk, Tanjong Karang (1963-1967) dan di Sekolah Teluk Gong, Kelang (1968). Di situ beliau bergaul bersama petani dan mereka yang kelaparan tanah. Jerit derita, dan sumsum sengsara para petani dan para marhaen Tanjong Karang dan Teluk Gong  itu terungkap tajam dalam sajak-sajak  yang sebahagiannya termuat dalam  kumpulan puisinya Timbang Terima (1970). Korpus karya Kemala terdiri daripada genre puisi, sedikit dalam genre cerpen, drama dan cerita kanak-kanak, tetapi banyak dalam penulisan esei dan buku ilmiah. Bakatnya merendang dan namanya menjulang, apabila beliau bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1968, bermula sebagai penolong penyunting, menjadi editor majalah-majalah sastera dan berbagai lagi, akhirnya bersara  pada tahun 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Beliau telah mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan sepanjang perjalanan seninya antaranya adalah Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana (1972, 1995, 1999), SEA Write Award, Thailand (1986), Anugerah Dato' Paduka Mahkota (2001), Gelar Pujangga, UPSI (2003), Anugerah Sasterawan Negeri Selangor Darul Ehsan (2005), Anugerah Abdul Rahman 'Auf (2006), Hadiah Sastera Utusan Ecxon (selama beberapa tahun) dan beliau telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara  kesebelas (2011).

KARYA

Puisi (Kumpulan)

• Timbang Terima, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1970
• Meditasi, Kuala Lumpur: Venus Arts, 1972
• Era, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975
• Kaktus –kaktus, Petaling Jaya: Penerbitan Fargoes, 1976
• ‘Ayn, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983
• Pelabuhan Putih, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989
• Titir Zikir, Kuala Lumpur: Pustaka Cipta, 1995
• Mim, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999
• Ziarah Tanah Kudup, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006
• Syurga ke Sembilan, Selangor: Insandi Sdn. Bhd., 2009

Cerpen (Kumpulan)

• Anasir, Subang Jaya: Tra-tra, 1983
• Firuzia,Firuzia, Petaling Jaya: Tempo Publishing(M) Sdn.Bhd., 1990
• Laut Takjub 25 Cerpen Pilihan, Selangor: Insandi Sdn Bhd., 2010

Drama

• Di Bumi Lain (In Another World terj. Harry Aveling).Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976
• “Malam Perhitongan”, Dewan Bahasa, Nov. 1966, hlm.516-525.
• “Anna”, Dewan Sastera, Oktober 1972, hlm. 19-24
• “Kelonsong,”Dewan Sastera, 1985.

Buku Kanak-kanak

• Melur,Melur Si Bunga Melur (puisi kanak-kanak), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974.
• Novelet Lani Anak Tani (cerita kanak-kanak). Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Bhd., 1977.

Buku Kajian Sastera

• Sastera dalam Esei , Subang Jaya: Tra-tra, 1983.
• Unsur-unsur Islam dalam Puisi Melayu Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
• Gejala: Esei dan Kritikan Puisi Melayu Moden 1955-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka,1989.
• Gagasan: Sejumlah Esei tentang Puisi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
• Kesusasteraan Bandingan dalam Perbincangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1994.
• Landskap Ungu 30 Esei Pilihan, Selangor: Penerbit UPM, 2010.
• 1000 Pantun Puitis, Penerbit UPM, 2010.
• Simbolisme dalam Puisi Islam Malaysia 1970-1990, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010.
• “Puisi Melayu Puisi Dunia” Bandingan Penyair Melayu Mutakhir dengan Penyair Dunia, 2011.
• Latihan Ilmiah Sarjana Muda (dengan kepujian) berjudul “Intelektualisme Puisi Latiff Mohidin dan Muhammad Haji Salleh”. Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang 1979-1980.
• Tesis Sarjana Sastera (MA) berjudul “Unsur-unsur Islam dalam Puisi Melayu Moden”, Pusat pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang 1984-1985.
• Disertasi ijazah Doktor Falsafah (PhD) bejudul “Simbolisme dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990”. Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 2000.

Recent Posts