KOLEKSI MAJALAH
Sebahagian besar perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu dirakam melalui media akhbar dan majalah. Usaha untuk mendokumentasi artikel majalah dan akhbar telah dilaksanakan bagi memudahkan akses, pengurusan dan penyebaran maklumat kepustakaan Melayu. Sehingga kini 181,055 entri indeks akhbar, 101,411 entri indeks majalah, 522 entri indeks jurnal dan 1,851 entri biodata tokoh bahasa dan sastera Melayu telah dirakamkan dalam sistem PUSTAKA.
Koleksi majalah ini juga meliputi majalah lama yang berjilid contohnya seperti majalah Dian, Mastika, Pengasuh, Utusan Filem dan Sports dan lain-lain lagi. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, PDM telah mengambil langkah untuk mendigitalkan koleksinya. Pendigitalan artikel majalah DBP ini dihasilkan dalam bentuk terbitan CD-ROM imej dan teks penuh. Hasil produk ini secara tidak langsung sebagai langkah pemuliharaan dan ia juga membantu memperkaya sumber rujukan digital tempatan.
Maklumat digital memang tidak dapat dinafikan lagi kepentingan serta potensinya. Pendigitalan berupaya mewujudkan pasaran serta peluang baru dalam era teknologi maklumat. Teknologi pendigitalan mengubah keseluruhan konsep penyalinan dan penyimpanan bahan serta mewujudkan pengaksesan maklumat yang lebih global merentasi sempadan.
Senarai Majalah Terbitan DBP
TAJUK | TEKS RINGKAS | PAUTAN |
---|---|---|
Dewan Bahasa | Dewan Bahasa mula diterbitkan secara bulanan sejak tahun 1957. Majalah ini menyasarkan pembaca daripada kalangan budayawan, golongan profesional, pejuang bahasa, pensyarah, mahasiswa, pemimpin, serta orang awam. Majalah ini khusus tentang hal-hal yang berkaitan dengan peranan bahasa Melayu sebagai pemangkin pembangunan negara yang meliputi pemikiran, kemasyarakatan, pendidikan dan sebagainya. Selain itu, ia turut memaparkan perkembangan isu semasa tentang bahasa kebangsaan sama ada pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa. | http://dwnbahasa.dbp.my/ |
Dewan masyarakat | Dewan Masyarakat mula diterbitkan secara bulanan pada September 1963. Majalah ini merupakan majalah khusus tentang hal-hal yang berkaitan dengan bidang sosial, ekonomi, pendidikan dan politik dalam masyarakat Malaysia. Majalah ini menyasarkan pembaca daripada kalangan eksekutif dan profesional, pentadbir, pembuat dasar, pemimpin, usahawan, pendidik, pelajar menengah atas dan pengajian tinggi serta orang ramai. | http://dwnmasyarakat.dbp.my/ |
Dewan Pelajar | Dewan Pelajar mula diterbitkan pada Januari 1967. Majalah ini menyasarkan pembaca daripada kalangan kanak-kanak dan merupakan majalah khusus untuk menyebarluaskan ilmu untuk kanak-kanak dalam pelbagai bidang. Tujuan majalah ini diterbitkan adalah untuk menggalakkan minat membaca dalam bahasa Malaysia. Majalah ini juga menyediakan ruang untuk mengembangkan bakat serta daya kreativiti kanak-kanak dalam bidang penulisan. | http://dwnpelajar.dbp.my/ |
Dewan Sastera | Dewan Sastera mula diterbitkan pada Januari 1971. Majalah ini menyasarkan pembaca daripada kalangan penyelidik, pensyarah universiti dan maktab, mahasiswa, bakal guru, pelajar menengah tinggi dan peminat sastera. Majalah ini juga memuatkan karya-karya sastera yang bermutu tinggi dari dalam dan luar negeri. Dewan Sastera juga sentiasa meneroka penulisan sasterawan yang kreatif serta menemukan hasil kesenian dan pemikiran baru yang dinamik. | http://dwnsastera.dbp.my/ |
Dewan Budaya | Dewan Budaya mula diterbitkan pada Januari 1979. Majalah ini merupakan majalah khusus tentang kebudayaan dan diterbitkan sebulan sekali. Majalah ini menyasarkan pembaca daripada kalangan pemikir budaya, golongan profesional dan intelektual, pemimpin masyarakat, peminat seni dan budaya, pendidik, pelajar pengajian tinggi dan menengah atas. Majalah ini juga memaparkan tentang perkembangan nilai, sikap dan pemikiran masyarakat. | http://dwnbudaya.dbp.my/ |
Dewan Siswa | Dewan Siswa mula diterbitkan Januari 1979. Majalah ini merupakan sebuah majalah untuk bacaan khusus untuk pelajar sekolah menengah dan mahasiswa di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT). Dewan Siswa merupakan tempat bagi para pelajar dan remaja di Malaysia yang mahukan ilmu pengetahuan. Majalah ini bukan sahaja memaparkan sumber ilmu dan maklumat, malah juga menjadi medium bagi para remaja untuk meluahkan rasa hati dalam bentuk yang lebih kreatif. Selain itu, ia juga menjadi gelanggang bagi karyawan muda untuk mengasah kreativiti mereka lalu mencipta nama dalam bidang kesusasteraan. | http://dwnsiswa.dbp.my/ |
Pelita Bahasa | Pelita Bahasa mula diterbitkan pada Mac 1989. Majalah ini menyasarkan pembaca daripada kalangan guru, pelajar menengah rendah dan tinggi, mahasiswa, kakitangan kerajaan dan pengguna bahasa yang lain. Pelita Bahasa merupakan bahan bacaan ringan yang dapat dijadikan sumber rujukan yang berkait dengan hal-hal mengenai bahasa. Isinya bukan sahaja bersifat informatif, tetapi juga merupakan sumber rujukan yang dapat digunakan di dalam bidang bahasa Melayu. | http://pbahasa.dbp.my/ |
Dewan Kosmik | Dewan Kosmik mula diterbitkan secara bulanan sejak Januari 1993. Majalah ini sesuai dibaca untuk semua golongan bermula daripada ahli profesional, penyelidik, mahasiswa eksekutif industri, guru, guru besar, guru pelatih, pelajar sekolah menengah dan sesiapa sahaja yang meminati bidang sains dan teknologi. Majalah ini memaparkan ilmu-ilmu perkembangan sains dan teknologi semasa yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan manusia dan alam sekitar, teknologi pendidikan, telekomunikasi, elektronik, farmasi, kejuruteraan, alam perubatan, agama dan sains, komputer dan yang seumpamanya. | http://dwnkosmik.dbp.my/ |
Dewan Ekonomi | Dewan Ekonomi mula diterbitkan secara bulanan sejak Januari 1994. Majalah ini menyasarkan pembaca daripada kalangan usahawan, tokoh korporat, pengurus, pelabur, pendidik, penuntut universiti dan masyarakat umum. Majalah ini merupakan majalah khusus tentang hal-hal yang berkaitan dengan isu-isu terkini meliputi ekonomi, kewangan dan korporat dalam negara dan merangkumi antarabangsa. | http://dwnekonomi.dbp.my/ |
Tunas Cipta | Tunas Cipta mula diterbitkan secara bulanan sejak Jun 2001. Tunas Cipta merupakan wadah sastera generasi baharu, sasaran pembaca ialah golongan remaja atau orang muda yang berminat , malah yang terlibat dalam dunia kesusasteraan tanah air. Majalah ini juga menyediakan ruang kepada penulis muda, dan generasi baharu untuk mengembangkan bakat penulisan dalam menghasilkan karya kreatif dan berkongsi pengalaman mereka dalam industri penerbitan buku dan penulisan. | http://tcipta.dbp.my/ |
Tamadun Islam | Dewan Tamadun Islam mula diterbitkan pada Januari 2013. Majalah ini menyasarkan pembaca daripada kalangan pemikir, golongan profesional dan intelektual, pemimpin, dan masyarakat Islam khususnya. Dewan Tamadun Islam membincangkan isu-isu berkaitan keagamaan, perkembangan Islam di peringkat global, doa-doa harian dan juga karya kreatif yang berunsurkan ketuhanan. | http://dti.dbp.my/ |
Kanun | Kanun diterbitkan setiap tiga bulan sejak Disember 1989. Kini Kanun diterbitkan dua kali setahun, iaitu pada bulan Jun dan Disember. Kanun (Jurnal Undang-undang Malaysia) mengambil namanya daripada judul sebuah karya undang-undang dalam masyarakat Melayu tradisional. Kanun merupakan Makalah ilmiah dalam bidang Undang-undang yang tertumpu pada undang-undang di Malaysia. Kanun menyasarkan pembaca daripada kalangan para akademik bidang undang-undang, pengamal undang-undang dan penyelidik bidang berkaitan | http://jurnalkanun.dbp.my/ |
Jurnal Bahasa | Jurnal Bahasa diterbitkan dua kali setahun, iaitu pada bulan Jun dan Disember. Terbitan pertama bermula pada bulan Mac 2001. Jurnal ini memaparkan kajian dalam bidang bahasa dan linguistik Melayu. Jurnal ini menjadi wadah kepada ahli linguistik membentangkan pandangan dan penemuan mereka dalam bidang linguistik. Pelbagai aspek bidang bahasa seperti peristilahan, perkamusan, tatabahasa, dialektologi, ejaan, pangkalan data kebangsaan dan kosa kata dibincangkan dalam jurnal ini. Jurnal Bahasa sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan dan sumber rujukan ahli linguistik, guru bahasa, siswa dan para ilmuwan. | http://jurnalbahasa.dbp.my/ |
Malay Literature | Malay Literature merupakan jurnal yang diterbitkan dua kali setahun, iaitu setiap bulan Jun dan Disember. Terbitan pertama bermula pada tahun 1998. Malay Literature merupakan sebuah jurnal ilmiah dalam bidang sastera yang tertumpu pada kesusasteraan Melayu. Malay Literature menyasarkan penyelidik sastera, para akademik dalam bidang kesusasteraan dan bidang yang berkaitan. Khususnya dalam bidang kesusasteraan Melayu | http://malayliterature.dbp.my/ |
Melayu Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu | Melayu Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu diterbitkan dua kali setahun, iaitu pada bulan Januari dan Julai. Terbitan pertama bermula pada bulan Jun 2003. Jurnal ini membicarakan isu dan pemikiran dalam pelbagai bidang dalam dunia Melayu berdasarkan penyelidikan akademik bagi merakamkan pelbagai sudut tamadun, budaya, pemikiran, kesenian dan kearifan Melayu umumnya. Jurnal ini ditulis dalam bahasa Melayu (dalam kebanyakan makalah) dan dibenarkan juga dalam bahasa Inggeris. | http://jurnalmelayu.dbp.my/ |