PROF. EMERITUS DR. MUHAMMAD HAJI SALLEH
BIODATA
Muhammad dilahirkan pada 26 Mac 1942 di Taiping, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di High School Bukit Mertajam, Maktab Melayu Kuala Kangsar seterusnya di Malayan Teachers College, Brinsford Lodge, England. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya (Singapura), ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya (1970) dan ijazah Ph.D. dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat (1973). Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Tamu (1977) di bawah rancangan Fulbright-Hays dan mengajar di North Carolina State University, Raleigh, Amerika Syarikat.
Muhammad Haji Salleh pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu dan pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pengarah Institut Bahasa, Kebudayaan Kesusasteraan Melayu. Pada tahun 1978, beliau dilantik menjadi Profesor Kesusasteraan sewaktu berusia 36 tahun. Muhammad menjadi Profesor Pelawat, di North Carolina State University, Raleigh, North Carolina, Amerika Syarikat (1977–1978); menjadi “Asian Scholar in Residence” di University Michigan. Beliau dipilih menjadi Fullbright Visiting Reseacher, di University of California, Berkeley (1992-1993), dan seterusnya menyandang Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Netherlands (1993-1994).
Pada tahun 1971, beberapa buah puisinya telah memenangi Hadiah Karya Sastera dan Muhammad menerima Hadiah Sastera Asean bahagian puisi bagi kumpulan puisi beliau Perjalanan Si Tenggang II (1977) dan anugerah kumpulan puisi terbaik (1975). Kumpulan puisi, Sajak-sajak Pendatang adalah sejumlah puisi yang dicipta sewaktu beliau mengembara di luar tanah air. Beliau banyak menghasilkan puisi yang didasarkan daripada buku Sejarah Melayu, puisi-puisi tersebut dapat diikuti dalam bukunya Sajak-sajak dari Sejarah Melayu (1981) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai penyair yang menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Muhammad mempunyai kekuatan bahasa yang dapat dan mampu menterjemahkan puisi-puisi Melayu ke dalam bahasa Inggeris. Beliau adalah salah seorang penterjemah kesusasteraan yang penting yang telah banyak menterjemah puisi Melayu ke dalam bahasa Inggeris. Malah beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia dari tahun 1978-1982. Dan kerana kegiatan kreatif dan ilmunya dalam kajian kesusasteraan, beliau pernah menjadi sidang editor jurnal Tenggara, anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara.
Demikianlah Muhammad Haji Salleh sebagai sasterawan yang juga ahli akademik yang dihormati telah memainkan peranan penting dalam dunia kesusasteraan Melayu. Dalam banyak pertemuan penulis yang dihadirinya dan kertas-kertas kerja yang dibentangkannya, Muhammad banyak sekali memberikan perhatian tentang teori-teori sastera dalam hubungannya dengan kesusasteraan Melayu. Bercakap tentang puisi-puisi yang dihasilkannya, puisi-puisinya selalu dihubungkan dengan intelektualisme, idea dan pemikiran yang cukup serius. Muhammad telah terpilih menjadi Sasterawan Negara dalam tahun 1991; dan menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok dalam tahun 1997. Kini Muhammad penulis sepenuh masa.
KARYA
Puisi
• Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 139 hlm.
• Sajak-sajak Pendatang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 62 hlm.
• Buku Perjalanan Si Tenggang II, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1975, 74 hlm.
• Ini Juga Duniaku, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1977, 83 hlm.
• Times and Its people, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1978, 80 hlm.
• The Travel Journals of Si Tenggang II, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 72 hlm.
• Pilihan Puisi Baru Malaysia – Indonesia (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 314 hlm.
• Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.
• Sajak-sajak dari Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1981, 88 hlm.
• Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.
• Dari Seberang Diri, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1982, 70 hlm.
• Antologi Puisi ASEAN (antologi bersama), Denpasar: Yayasan Sanggar Seniman Muda Bali, 1983, 85 hlm.;
• Lagu Kehidupan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.
• Bintang Mengerdip (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 75 hlm.
• 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur. Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.
• Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.
• Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.
• Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975-1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaia, 1988, 167 hlm.
• Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.
• Suara Rasa (Voice From Within) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm.
• Beyond the Archipelago, Athens: Center of International Studies, Ohio University, 1995, 243 hlm.
• Rupa Kata (antologi bersama), Ipoh: Yayasan Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.
• Sebuah Unggun di Tepi Danau, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 259 hlm.
Kajian
• Tradition and Change in Contemporary Malay-Indonesian Poetry, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1977, 190 hlm.
• Selection from Contemporary Malaysian Poetry (Peny.), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1978, 118 hlm.
• Pengalaman Puisi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 85 hlm.
• An Anthology of Contemporary Malaysian Literature, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 413 hlm.
• The Mind of The Malay Author, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 178 hlm.
• Syair Tentang Singapura Abad Kesembilan Belas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, 127 hlm.
• Sulalatus al-Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Yayasan Karya Agung, 1997, 338 hlm.
Terjemahan
• Teori Kesusasteraan: Satu Pengenalan/Terry Eagleton, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 264 hlm.
• Salju Musim Bunga Yukio Mishima, Kuala Lumpur: Yayasan Penataran Ilmu, 1990, 624 hlm.