Pengiktirafan : 2001

MEMORY OF THE WORLD REGISTER, UNESCO
Sulalatus Salatin (The Malay Annals)

Sejarah Melayu atau The Malay Annals adalah karya pensejarahan klasik tertua. Ia adalah khazanah terpenting tentang sejarah Raja-raja Melayu pada abad ke-15 dan awal abad ke-16 yang memaparkan kewujudan, kegemilangan dan kejatuhan sebuah empayar maritime Melayu yang unggul.

Sejarah Melayu telah memperlihat transformasi kehidupan masyarakat di kepulauan Melayu dari pengaruh Hindu kepada Islam. Melaka, pada abad itu digambarkan sebagai sebuah pelabuhan bebas yang telah mengalami perkembangan pesat hasil daripada hubungan penduduk dan pedangang dari India, China, Arab, Portugis dan jajahan lain. Perkembangan ini memberi kesan kepada evolusi sosial, ekonomi dan politik kerajaan Melayu.

Manuskrip yang tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menjadi rujukan penting kepada sarjana dan pelajar-pelajar bidang persuratan Melayu, sosio-budaya, ekonomi dan politik. Pada September 2001, DBP melakar sejarah apabila koleksi manuskrip Sejarah Melayu (Salalatus Salatin) diangkat sebagai karya agung warisan dunia dalam  Memory of the World International Register, UNESCO.

Bersempena dengan pemasyhuran tersebut, beberapa acara berkaitan telah diadakan termasuklah forum dan wacana. Misalnya, pada 28 Ogos 2002 telah berlangsung Forum Koleksi Agung Negara Warisan Dunia di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Antara barisan pembicara ialah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusoff Haji Hashim dengan judul Apakah Kata Mereka Perihal Sejarah Melayu; Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dengan judul Hang Tuah dan Jiwa Bangsa yang Retak serta YBhg. Dato’ Wan Shamsuddin Wan Mohd. Yusof dengan judul Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Kedah 1882-1943.

Seterusnya diadakan siri wacana Sulalatus Salatin. DBP melalui Bahagian Penyelidikan Sastera dan Pusat Dokumentasi Melayu telah bekerjasama dengan rakan sinergi daripada pelbagai institusi pengajian tinggi sebagai penganjur bersama. Melalui penganjuran kegiatan wacana ini, keunggulan Sulalatus Salatin sebagai karya agung dapat dibincangkan secara ilmiah dan mendalam daripada pelbagai subjek.

Antara bidang yang dikaji ialah budaya dan sumptuary law, kearifan Melayu, hubungan diplomatik, edisi kritikan Sulalatus Salatin, paparan metafora emosi, Sulalatus Salatin sebagai magnum opus Melayu, etnosentris dan wibawa Melayu, dan pewarisan Institusi Kesultanan Melayu. Melalui penganjuran siri wacana ini juga dapat memperluas khalayak baharu di seluruh negara.

Recent Posts