DATUK DR. SITI ZAINON ISMAIL

DATUK DR. SITI ZAINON ISMAIL

BIODATA

Siti Zainon Ismail lahir pada 18 Disember 1949 di Gombak, Kuala Lumpur. Beliau merupakan seorang pengarang, pengkaji seni budaya warisan Melayu, seniman, penyair dan pelukis Malaysia. Siti Zainon adalah kacukan keturunan Melayu - Minang - Batubara, Jawa – Banjar. Juga diasuh oleh 'ayah kedua' berketurunan Acheh-Patani. Mendapat pendidikan asas di Sekolah Rendah Setapak, Kuala Lumpur dan Sekolah Rendah Langgar, Kota Bharu ( 1956- 1957-1961) dan seterusnya ke Sekolah Menengah Aminudin Baki (SAB), Kuala Lumpur (1962-1968). Beliau mengaji dengan abah dan 'ayah Mat' yang juga memberinya cerita wayang kulit. Di Kota Bharu juga beliau mula belajar mencolek kain batik. Di SAB beliau dilatih oleh guru seni lukis Idris Haji Salam sehingga ia bergabung pula dengan Angkatan Pelukis Semenanjung (APS, 1964-1968).

Oleh minatnya kepada seni lukis beliau melanjut ke pendidikan seni di Institut Seni Indonesia (ASRI) jurusan Seni Lukis (1970-1973). Beliau merupakan pelajar seni lukis yang kerap memenangi Anugerah Sketsa Kartini (1970-1973). Selama di ASRI turut bergabung dengan Sanggar Dewata dan turut pameran keliling Jawa. Pada bulan Februari 1974 pulang ke tanah air bertugas sebagai Jurulatih seni lukis di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (1974-1976). Seterusnya sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia ( 1976) dan lulus Sarjana Sastera (UKM. 1980), Ph.D (UM. 1992).

Beliau adalah penyair pelukis wanita yang terus aktif. Kerap mewakili negara dalam membaca puisi, pameran lukisan dan seminar seni budaya seluruh tanah air dan juga di peringkat antarabangsa seperti di Filipina (1976). Bhopal. India (1985). Berlin Barat ( 1985, 2000) Soeul Korea (1986). Indonesia (Aceh, Bali, Jakarta. Jambi, Lombok. Makassar. Padang. Riau, Palembang, Yogyakarta 1983-1998). Thailand ( 1986,1989, 1990). Perancis (1986), Berlin (1986). London (1986,1990,1992), Australia(1993), Singapura(1990,1995), Hamburg (2000), Russia (2003). Begitu juga puisi-puisi dan cerpen beliau telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa seperti BuIgaria, Hindi, Inggeris, Korea, Urdhu, Jepun, Perancis, Thai dan Russia.

Siti Zainon telah menghasilkan berbagai-bagai ungkapan puitis dalam beberapa buah antologi puisinya. Sehingga tahun 1992 beliau telah melahirkan Nyanyian Malam (1976), Puisi-Puisi Sang Kekasih (1984), Daun-Daun Muda (1986), Perkasihan Subuh (1986), Kau Nyalakan Lilin (1990), dan Bunga-Bunga Bulan (1992), Kasih Bonda Kampung Paya Kami, (2008), dan Witir Sela Merapi, (2003). Selain puisi, Siti Zainon juga turut menghasilkan novel iaitu Rembang Flamboyan (1995), empat antologi cerpen, iaitu Sri Padma (1984), Dongeng Si Siti Kecil (1988), Attar Dari Lembah Mawar (1988), dan Bunga Putik Putih (1991). Pendidikan akademiknya dalam bidang seni rupa menyemarakkan lagi warna kerjayanya. Izan seperti membaurkan minat dan kerjaya, lebur dalam satu wadah budaya. Seni tekstil dan kraf tangan bagaikan menyatu pula ke dalam wadah itu. Dia melahirkan Getaran Jalur dan Warna (1985), Rekabentuk Kraftangan Melayu (1986), Percikan Seni (1988), Tekstil Tenunan Melayu (1994), dan The Craft of Malaysia (1994).

Sepanjang penglibatan Siti Zainon dalam bidang lukisan dan karya kreatif, beliau dianugerahi dengan pelbagai hadiah dan penghargaan, antaranya ialah Hadiah Lukisan Batik M.A.H.A tahun 1867/68, Hadiah Sketsa Kartini 1971, Hadiah Karya Sastera 1974, Hadiah Sastera Malaysia 1984/85, Hadiah Sastera Malaysia 1986/87, Hadiah Sastera Islam Kelantan 1985, Hadiah Esei Dewan Sastera tahun 1988 dan Hadiah Cerpen Maybank DBP 1995/96/97. Beliau juga menerima Asean Foundation Grant Young Writers Conference di Toyabongkah Bali pada tahun 1985, Penghargaan Seni dari India Council for Culture Relations pada tahun 1985, Penghargaan Seni daripada Seoul Poetry Club 1986 dan Piagam Penghargaan Universitas Jabal Ghafur, Pidie Aceh 1986, Hadiah Buku Majlis Buku Negara, “Reka bentuk Kraf tangan Melayu”, 1986, Hadiah Puisi PUSPA, Kelantan, 1987, Hadiah Estetika Puisi, Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989 dan Hadiah Majlis Buku Negara, Tekstil Tenunan Melayu, Anugerah Anggota Senat Guru Besar@Profesor Luar Biasa Universitas Jabal Ghafur, Acheh Pidie, 26 Oktober 1996, Anugerah Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor, 14 Disember 2002, Anugerah Tengku Nyah Fakinah, Anugerah Budayawan Selangor: Penulisan Puisi 2005 pada 4 Julai 2005 dan Anugerah Tokoh Wanita Selangor, 7 Mac 2007 dan Anugerah S.E.A. Write Award, 1989.

KARYA

Kajian Ilmiah-Buku

• Alam Puisi (DBP, 1989)
• Kembara Seni Siti (Galeri Melora-Utusan Melayu, 1990)
• Getaran Jalur dan Warna (Fajar Bakti, 1990)
• Percikan Seni (DBP, 1989)

Novel

• Rembang Flamboyan (Fajar Bakti, 1990)
• Pulau Renik Ungu (DBP, 1995, 2005)
• Delima Ranting Senja (Utusan Melayu Publication, 2009)

Kumpulan Cerpen

• Seri Padma (DBP, 1984)
• Attar Lembah Mawar (Marwilis, 1988)
• Dongeng Si SIti Kecil (Teks Publishing, 1988)
• Bunga Putik Putih (DBP, 1992)
• Kampung Paya Kami (Galeri Melora, 1998, 2010)
• Nyanyian Orang Laut (Galeri Melora, 2000)
• Jurai Palma (DBP, 2004)
• Rindu Pala Muda (DBP, 2006)
• Piaza di Spagna (Galeri Melora, 2010)

Kumpulan Puisi

• Nyanyian Malam (DBP, 1976/Galeri Melora, 2004)
• Puisi Putih Sang Kekasih (UKM, 1984/2016)
• Perkasihan Subuh (Bulan Bintang Bandung, 1986/ Cindai Cinta, 1987)
• Daun-daun Muda (Media Intelek, 1986)
• Aquarium Kota (Cindai Cinta, 1988)
• Bunga-bunga Bulan (Creative Interprise, 1990)
• Kaun Nyalakan Lilin (Grupemuisi UKM, 1990)
• The Moon is a Candle (trj. Harry Avelling, DBP, 1992)
• Taman-taman Kejadian (Galeri Melora, 1996)
• Pumplet Penyair: IBUNDA- Mother (Unit Kebudayaan UKM, 1996)
• Witir Merapi (Galeri Melora, 2004)
• Geulumbang Rayei Nota SMS Tsunami (Galeri Melora, 2005)
• Kasih Bonda (DBP, 2010, 2015)
• Bait Senandung Malam (ITBM, 2011)
• Bonda's Love (ITBM, 2011)
• Bijak Si Katak Bijak (Puisi Kanak-kanak) (ITBM, 2012)
• Angsa Istana di Jambul Desa (ITBM, 2014)
• Surat Dari Awan (ITBM, 2015)
• Sahabat Bulu Cantik (Puisi Kanak-kanak) (ITBM, 2016)
• Zaman Cicak dan Mengkarung (Puisi Kanak-kanak) (ITBM, 2016)
• Cik Bunga Rantau Abang (Puisi Kanak-kanak) (ITBM, 2016)

 

 

Recent Posts